Maaf, lama tak menjengah..maklumlah awal-awal tahun ni, banyak kerja-kerja pejabat perlu dibereskan. Lagipun kami sekeluarga masih lagi sibuk mengemas & mengangkut barang-barang untuk berpindah rumah kali ke-12 sejak kami berkahwin..huh3, penat yo! Namun seronok kerana dapat tinggal di rumah sendiri.
Semua anak sama ada jauh dari kami, atau tinggal dengan kami, tetapi masing-masing sibuk dengan kerjaya atau sibuk belajar dan tak dapat nolong selalu, kadang-kadang saja. Kami akan bergotong royong bila dapat kumpul pada satu hari. Itu yang syoknya…bila anak ramai.
Banyak yg berlaku dalam tempoh aku tidak menulis nih, antara alasan aku tak sempat (kononnya! Padahal kalau hendak 1000 daya…kan ?). Semua kisah tidak menyeronokkan…tapi inilah asam garam, & hitam putih kehidupan…
1. Emak kehilangan beg tangan – yang ada wang, paspot Antarabangsa, dan kad pengenalan. Hilang pulak di dalam kedai yang emak aku berniaga, di siang hari, ketika orang ramai. Disyaki seorang wanita separuh umur, yang masuk ke ruang dalam gerai ketika orang ramai sibuk meminta nasi & lauk pauk. Dia tak pernah datang (emak aku tak kenal sebelum ini) dan pura-pura sibuk minta dibungkuskan makanan, tetapi kemudiannya makanan itu tidak diambil setelah selesai masa sibuk tersebut dan emak aku baru sedar kecurian tersebut.
2. Emak aku sakit & hospitalized – kelam kabut semua anak,kerana emak jarang sangat masuk hospital. Ayah aku pernah masuk hospital masa aku kecik-kecik dulu & beberapa kali semasa aku dewasa. Alhamdulillah tidak lama, 2-3 hari beliau dibenarkan keluar. Terima kasih kepada adik-adik dan ipar-duaiku, serta anak-anak saudaraku yang tolong temankan emak di katil hospital.
3. Kematian :
a. Bekas pensyarah & Ketua Jabatan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani & kemudiannya IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, yang baru pencen 2,3 tahun sahaja – meninggal ditimpa pokok di kebunnya.
b. Anak rakan sejawatku – baru berumur 5 atau 6 tahun sahaja – kemalangan di jalan raya;
c. Bekas Pengetua Cemerlang – beberapa tahun pencen juga meninggal;
d. Pak Langku (adik ayahku dan juga jiran keluargaku di kampung sejak aku kecil) – umur 70 tahun, meninggal sakit tua,setelah lama terbaring di katil;
e. Anak lelaki rakan sejawatku juga – umur 20 tahun,masih belajar di IPT, twinning dengan luar negara – demam setelah mandi di sungai/kolam di hutan (keracunan kencing tikus? Wallahua’lam) – meninggal beberapa hari lepas;
f. Terbaru, ibu mertuaku dimasukkan ke HUKM kerana disahkan barah kolon/usus, di peringkat 4 (advance) mengikut doktor di Hospital Tawakal ketika mula dpat diagnosis awal. Kini baru dibedah untukmembuang ketumbuhan, dan sedang tunggu untuk rawatan kemoterapi, mungkin. Isteriku sebagai anak sulung & adik-adiknya dalam kesedihan dan amat mengharapkan sesuatu yang ajaib berlaku supaya ibu mereka sembuh segera. Aku harap para pembaca sama-sama berdoa agar Allah SWY tentukan yang terbaik,amin. Terima kasih.
èAda lagi berita/peristiwa yang aku tak ingat...ini yang dekat-dekat, yang aku tahu. Yang dalam akhbar, & yang tiada dilaporkan entah berapa banyak pula, yang sakit & yang mati setiap hari.
Refleksi:
1. Orang sanggup buat macam-macam cara untuk dapat wang cepat dan mudah TANPA fikir kesusahan orang. Malah, tak kisah HALAL atau HARAM. Kejahatan dan tipu helah bukan saja dilakukan kaum lelaki yang biasa kita dengar, tetapi juga wanita. Bukan saja di malam hari, tetapi siang-terang benderang, betapa beraninya mereka! Bukan kumpulan atau pasukan 2-3 orang, tapi seorang diri. Sekali lagi, beraninya dan begitu nekad! Tanpa rasa kasihan belas, betapa susah & penat orang mencari wang. Pagi-pagi sediakan bahan mentah yg begitu pelbagai, masak di dapur dengan panas api beberapa jam dan menyediakan hidangan di gerai sekitar jam 10 pagi hinggalah jam 5 petang baru pulang. Letih, penat, dan kurang rehat..itulah rutin emak dan ayahku, sejak puluhan tahun dulu hingga kini. Sekarang alhamdulillah, banyak dibantu kakak dan adik-adik iparku. Aku kagum dengan kegigihan ibu bapaku, namun sedih dan geram dengan peristiwa kecurian itu. Moga Allah memberi hidayah kepada pencuri itu agar dia sedar dan tidak ulang lagi (ikut aku, biar sumpah saja dia, tapi akhlak Islam tidak membenarkan cara ini. Jadi, sabar ajelah).
2. Sakit adalah adat hidup. Semua insan pernah merasai sakit, hatta para Nabi dan Rasul. Allah SWT menguji hamba-hambaNya dengan pelbagai ujian kehidupan, seperti firmanNya, bermaksud:
”Dan sesungguhnya Kami akan berikan percubaan/ujian sedikit kepada kamu seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang yg sabar.” (AQ:2:155)
Jadi kita pakat-pakat lah sabar dan saling ingat mengingati tentang hal-hal ujian kehidupan ini. Kadang-kadang Allah SWT uji dengan kesusahan, kadang-kadang dengan kesenangan dan kemewahan. Dalam sejarah, ramai yang berjaya dalam ujian kesusahan, tapi sedikit orang yang berjaya dalam kemewahan. Manusia mudah alpa, lalai, rasa bongkak, takbur, angkuh dan besar diri, malah lupa diri. Mereka anggap semua kesenangan itu hasil usaha mereka sahaja, lupa bahawa Allah SWT yang memberikan segalanya, Allah yang izinkan kita dapat/ nikmati/rasai kesenangan yang sedikit dan fana itu. Tapi sebenarnya itulah ujian. Ujian untuk kita sedar, insaf, rasa bersyukur kepadaNya. Malah sewajarnya lebih banyak bersyukur kerana kita dapat rasa sesuatu yang orang lain tak dapat rasa lagi.
”Syukur” bukan dengan kata-kata atau lisan sahaja. Memang kena banyak istighfar (mohon ampun secara lisan), banyak memuji Allah tanda syukur (alhamdulillah) dan zikir lain lagi; tetapi juga menambah amalan ketaatan iatu ibadat umum & khusus (solat, puasa, zakat, zikir/wirid, mengaji Al-Quran, sedekah, haji & umrah, dakwah, dll.), menambah & sampaikan ilmu, murnikan adab/akhlak dan beramal jariah. Bacalah kitab Imam Al-Ghazali- Ihya’ Ulumuddin, atau ringkasannya, Bimbingan Mukminin, tentang bab ini. Moga kita sama-sama dalam golongan hambaNya yang sentiasa bersyukur.
3. Kematian pasti akan datang. Adakah kita sudah bersedia? Tepuk dada, tanya iman. Antara yang kita kenalpasti:
i) mati tak kenal orang kaya atau miskin;
ii) mati tak kisah kanak-kanak, remaja, pertengahan tahun, tua, atau sangat tua;
iii) mati tidak semestinya sakit lama, kadangnya sekejap je;
iv) mati kadangnya tiada tanda/tiba-tiba, kadangnya memakan masa lama (sakit contohnya);
v) ada mati yang mudah, ada yang menyiksakan.
Banyak lagi kisah, teladan dan pengajaran kepada kita yang masih hidup. Sama-sama kita belajar dari yang tahu tentang kematian & persediaan untuk menghadapinya. Arwah datuk mertua aku pernah menyediakan segalanya barangan untuk urusan jenazah & memberi taklimat kepada anak menantu serta cucu cicitnya cara menguruskan kematian & jenazah, bila beliau meninggal nanti. Ada juga orang yang menunjukkan kepadaku persiapan kematiannya, malah menyediakan ruang tempat mandikan jenazah di rumahnya.
Firman Allah SWT, bermaksud:
” Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai kematian. Dan bahawa pahalamu akan dicukupkan nanti di hari Kiamat. Orang yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya mereka beroleh keuntungan. Dan kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan tipu daya belaka.” (AQ:3:185)
Bagaimanapun kita tumpang sedih, sayu, hiba, sebak dengan kesakitan & kehilangan kawan-kawan, saudara mara, serta orang tersayang kawan-kawan & keluarga kita, yang sakit atau yang dipanggil terlebih dahulu oleh Allah SWT, Yang Empunya segalanya. ”Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepadaNya kita akan kembali.”. Moga Allah SWT sembuhkan yang sakit, dan mereka yang telah meninggal pula, didoakan mendapat keampunanNya, dirahmati ruh mereka, diringankan azab siksaan kubur, & dimasukkan ke syurga beserta para solihin, aamiin. Al- Faatihah.
Ulasan