Langkau ke kandungan utama

Fikrah & Tarbiyah




Menjelmakan Makna Tarbawi

– 0 KOMEN ANDA
Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah.

Sungguh, nikmat iman dan Islam apatah lagi nikmat dakwah dan tarbiyah bukanlah nikmat yang Allah berikan kepada semua hambaNya.

Di antara sekian banyak manusia di muka bumi ini, hanya sebahagian sahaja yang muslim.

Di antara yang muslim tersebut, hanya sebahagian sahaja yang mengenali Islam secara utuh.

Di antara yang mengenali Islam secara utuh tersebut, hanya sebahagian pula yang diberikan kesempatan untuk menjadi pendokong agama Allah yang menegakkan dakwah dan tarbiyah Islamiyah.

Maka bersyukurlah bahwa kita masih diberikan nikmat yang luar biasa ini.

Salah satu perkara yang membuatkan dakwah ini mengalami kerapuhan adalah lemahnya Tarbiyah Islamiyah di kalangan para aktivis dakwah.

Ini adalah bahaya besar yang mengancam gerakan Islam secara nyata dan menimbulkan kesan yang ketara.

Lemahnya tarbiyah yang seterusnya mengancam gerakan Islam tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah seperti ‘virus’ yang melumpuhkan sistem kekebalan organisasi sedikit demi sedikit.

Bahayanya tidak dirasakan secara langsung namun ia timbul secara perlahan-lahan. Hal inilah yang membuatkan ramai dari para aktivis dakwah lengah dan leka terhadap bahaya yang mendatang ini.

Padahal sistem tarbiyah ini dirancang dengan begitu rapi.

Ia adalah :

“Cara yang ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata), mahupun tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan wasilahnya yang khusus) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik.”

Begitulah definisi lengkap tarbiyah yang dikemukakan oleh Ustaz Ali Abdul Halim Mahmud.

Wasilah-wasilah tarbiyah yang dilaksanakan dalam berbagai suasana sudah menjadi semakin lengkap iaitu mencakupi halaqah, mabit, mukhayyam, daurah, rehlah dan wasilah-wasilah lainnya, namun persoalannya adakah kita sudah mendapat manfaat secara maksimum dari setiap pertemuan tarbawi tersebut?

Setelah masa berlalu, kadang-kadang banyak sekali kita temui fenomena bahwa wasilah-wasilah tarbiyah tidak lagi menjadi sesuatu yang dirindukan. Ianya wujud dan dilaksanakan, namun miskin ruh dan semangat.

Peserta yang datang pula hanya sekadar duduk, mendengar lalu kemudiannya pulang sehingga tidak ada “ole-ole” penyegaran jiwa, pengetahuan baru dan semangat yang bergejolak setelah pulang dari menghadiri wasilah-wasilah tarbiyah tersebut.

Akibatnya wasilah tarbiyah :

1.      Menjadi sepi dari peminat.
2.      Lemah dari sudut semangat perlaksanaannya.

Kita sebenarnya perlu kembali melihat bagaimana proses pentarbiyahan yang dilaksanakan di peringkat awal Islam di zaman Rasulullah saw dan para sahabat serta mengambil mutiara-mutiara berharga dari sudut persediaan pembinaan ruhiyah mereka.

Pada tahap pembinaan ruhiyah, tidak ada yang lebih besar pengaruhnya bagi jiwa kita selain daripada menekankan soal :

a.       Ibadah.
b.      Ketaatan.
c.       Amalan-amalan sunnah.

Ibadahlah yang akan :

1.      Menghubungkan hati dengan Allah swt.
2.      Meneguhkan jiwa dalam menghadapi segala penderitaan.
3.      Meluluskan diri dalam menghadapi fitnah.
4.      Membuatkan kita teguh di atas kebenaran.

Ia adalah tahap ibadah, ‘tabattul’ (konsentrasi dalam ibadah hanya kepada Allah) dan qiyamul lail.

Al-Bazzar meriwayatkan dari Muhammad bin Aqil bin Jabir, ia berkata :

“Quraisy bermesyuarat di Darun Nadwah. Berkatalah sebahagian dari mereka. ‘Berilah nama orang ini (Nabi saw) dengan suatu nama yang akan menghalang orang darinya.’
Sebahagian mereka bertaka ‘tukang ramal’. Sebahagian lagi menjawab, ‘Dia bukan tukang ramal’. Yang lain berkata ‘Orang gila!’ manakala sekelompok yang lain menolak ‘Ia bukan orang gila’. Sebahagian mereka berkata ‘Tukang sihir’ manakala sebahagian yang lain membantah ‘Ia bukan tukang sihir’.

Kemudian orang-orang musyrik itu bersurai dalam keadaan demikian. Mendengar peristiwa tersebut, Nabi saw terus berselimut dan berpeluh dalam pakaiannya. Kemudian Jibril datang kepada baginda dan berseru;  “Wahai orang yang berselimut, wahai orang yang berselimut… !”

Imam Ahmad meriwayatkan perkataan Aisyah radhiyallahu’anha :

“Sesungguhnya Allah mewajibkan Qiyamullail pada awal surah ini. Kemudian Rasulullah saw dan para sahabatnya melaksanakannya selama satu tahun sehingga kaki-kaki mereka bengkak. Allah menahan penutup surah ini di langit selama 12 bulan. Kemudian Allah menurunkan keringanan di akhir surah sehingga qiyamullail menjadi sunnah setelah diwajibkan.”

Qiyamullail yang diwajibkan pada permulaan ini merupakan ‘daurah tadribiah ‘anifah’(Latihan intensif dan keras) untuk meningkatkan komitmen dan ketaatan kepada perintah Allah selama satu tahun penuh sebagaimana pengarahan Al-Qur’an berikut :

“Wahai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Qur’an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyu’) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).” (QS Al Muzzammil : 1-7)

Seluruh malam kecuali sedikit darinya mesti digunakan untuk Qiyamullail. Qiyamullail sendiri bukanlah sasaran dan bukan pula hukuman Allah terhadap hambaNya, tetapi ia merupakan :

a.       ‘Tarbiyah imaniyah’ (Pembinaan keimanan) untuk mewujudkan hubungan yang kuat dengan Allah.
b.      Wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah.
c.       Wasilah untuk zikrullah, ‘tabattul’ dan tawakkal kepadaNya.

“Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan. (Dia-lah) Tuhan Timur dan Barat, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, maka ambillah Dia sebagai pelindung.” (QS Al Muzzammil : 8-9)

Zikrullah, ‘tabbatul’, tawakkal dan ibadah kepadaNya adalah senjata-senjata dalam pertarungan.

Senjata-senjata inilah yang membekalkan kepada kaum mukminin dengan kesabaran dalam menghadapi ujian, penyiksaan dan penghinaan.

“Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik. Dan biarkanlah Aku (sahaja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar.” (QS Al Muzzammil : 10-11)

Para penyeru agama Allah sangat perlu kepada senjata ini dalam melaksanakan tugas dakwah yang sentiasa menghadapi berbagai rintangan dan gangguan.

Jika pada tahap seperti ini, gerakan Islam tidak memperhatikan aspek ibadah, aspek ruhiyah, qiyamullail yang rutin dan berterusan serta daurah-daurah secara berulang-ulang untuk “terus hidup”, pasti ia akan menyaksikan para pendokongnya berjatuhan satu demi satu dan menghadapi kepupusan kesan dari tribulasi dalam kehidupan mereka.

Perlu diingat bahwa qiyamullail hanya akan menjadi teori yang tidak dapat diaplikasikan apabila simpanan hafalan Al-Qur’an para aktivis dakwah sangat minimum.

Ini kerana mereka yang tidak memiliki hafalan Al-Qur’an kecuali beberapa ayat akan terpaksa mengulang-ulang ayat tersebut di dalam solatnya.

Lantas :

1.      Bagaimana ia melaksanakan qiyamullail?
2.      Bagaimanakah hatinya akan tergerak untuk khusyu’?
3.      Bagaimana ia akan merasakan lazatnya taat dan ibadah jika kelazatan Al-Qur’an tidak dapat diintegrasikan dalam hatinya serta memenuhi kehidupan, ruh, pendengaran dan penglihatannya sehingga “cahaya” Al-Qur’an memancar dengan kuat dari hatinya?

Sesungguhnya, manhaj tarbiyah yang perlu ditetapkan kepada para pemuda di marhalah permulaan adalah manhaj Qur’ani. 

Tidaklah cukup Al Qur’an ini hanya dijadikan pokok pangkal manhaj secara keseluruhan dan ‘tsaqafah’ (pengetahuan) yang disajikan kepada para aktivis dakwah tetapi di samping itu, hafalan Al-Qur’an juga mesti dijadikan sasaran utama di antara sasaran manhaj, terutama bagi aktivis dakwah yang masih muda dan memiliki kemampuan hafalan yang baik.

Manhaj tarbiyah harakiyah yang disusun oleh gerakan Islam mesti berhasil menjadikan para pemuda hafal banyak dari ayat-ayat Al-Qur’an tatkala mereka memasuki usia dua puluh tahun sehingga menjadi bekalannya dalam ketaatan, gerakan, tahajjud dan ibadah.

Pada saat itulah , ia merasakan lazatnya ibadah, taat dan qiyamullail serta menikmati lazatnya zikir dan tawakkal.

“Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” (QS Al-Muzzammil : 8)

Selain itu, Manhaj tarbiyah pada tahap ini juga mesti meletakkan zikrullah, tahlil, takbir, tahmid, tasbih dan solawat kepada Nabi saw, membaca wirid ma’tsur dan zikir-zikir secara mutlak, berterusan siang dan malam.

Sesungguhnya pemuda muslim yang menjalani masa muda mereka dengan :

a.       Tekun beribadah dan dalam ketaatan yang berterusan untuk membaca Al-Qur’an.
b.      Kedua kaki mereka letih kerana qiyamullail.
c.       Zikrullah di tempat sunyi hingga kedua mata mereka menitiskan air mata.
d.      Hati mereka sentiasa terpaut dengan masjid.
e.       Sentiasa membasahi bibir mereka dengan zikir-zikir dan ayat-ayat Al-Qur’an siang dan malam.
f.       Hati dan fikiran mereka dibentuk oleh Al-Qur’an.

Merekalah pemuda ideal yang mesti diwujudkan oleh gerakan Islam.

Inilah ‘minhajul bina’ (sistem pembinaan) pertama melalui surah Al-Muzzammil.

Mari kita menyorot kembali bagaimana Imam Hasan Al Banna melihat fenomena ini dan berusaha untuk memasukkan kembali makna-makna tarbawi di dalam setiap wasilah-wasilah tarbiyah yang kita kendalikan.

Dalam ‘Pertemuan Selasa’ (Haditsu Tsulasa’) yang diadakan diadakan secara berkala, Imam Hasan Al Banna sentiasa mengingatkan tentang keperluan memasukkan makna-makna tarbawi dalam setiap pertemuan Al Ikhwan.

Beliau mengambil sebuah hadith Rasulullah saw :

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, membaca dan mempelajari kitab Allah secara bersama-sama, kecuali mereka akan diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan disebut Allah di hadapan para malaikat di sisiNya. Barang siapa lambat dalam beramal, nasabnya tidak dapat menyempurnakannya.”

Wahai ikhwah, setiap kaum yang berkumpul di tempat mulia, membaca dan mempelajari kitab Allah bersama-sama niscaya :

1.      Allah swt meliputi mereka.
2.      Ketenangan dari sisi Allah turun kepada mereka.
3.      Para malaikat mengelilingi mereka.
4.      Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan para malaikat yang ada di sisiNya.

Aku ingin memberitahu kamu tentang perasaan yang aku rasakan dan tentang apa yang seharusnya dilakukan, kerana tujuan kajian ini bukanlah sekadar untuk mendapatkan informasi ilmiah atau ruhiyah semata-mata.

Dari pertemuan ini, aku tidak bermaksud mengemukakan banyak hakikat ilmiah kepada kamu semua agar kamu boleh mengerti dan tidak bermaksud mempengaruhi jiwa kamu semua, kerana pada akhirnya pengaruh itu pasti muncul pada siapa sahaja yang mendengarkan dan merenungkan kitab Allah swt.

Aku tidak bermaksud mewujudkan kedua perkara ini semata-mata, tetapi aku bermaksud mendapatkan manfaat yang nyata, iaitu agar perjumpaan kita dalam kajian ini dapat dijadikan wasilah untuk saling mengenali, menjalin hubungan agar sebahagian akrab dengan sebahagian yang lain dan sebahagian kita berbahagia berjumpa dengan sebahagian yang lain sehingga :

a.       Jiwa kita saling akrab.
b.      Hati kita saling bertaut.
c.       Fikiran kita saling mengasah.
d.      Kita dapat terus-menerus mengkaji banyak atau sedikit dari aspek-aspek ilmiah yang berkaitan dengan diri kita.

Ikhwah yang tercinta, dengan pertemuan ini aku ingin membuka kesempatan untuk saling memahami dan mengenali, maka hendaklah kamu semua berusaha mewujudkannya.

Percayalah kepadaku bahwa aku sangat merindukan kajian ini, sekalipun kadang-kadang aku tidak mempunyai hasrat untuk berbicara, tetapi mungkin saat berlangsungnya acara kajian ini adalah saat jiwa ini bersih.

Barangkali jiwa ini boleh berpaling dan mengendur, tetapi percayalah kepadaku, ikhwah sekalian, bahwa aku merindukan saat ini, di hari ini, dengan kerinduan yang luar biasa.

Aku menunggu-nunggu saatnya tiba. Bertanya dan saling memahami adalah perbuatan yang pahalanya lebih besar di sisi Allah daripada belajar.

Nabi kita saw pernah bersabda :

“Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mencintai.”

Seorang mukmin adalah orang yang :

1.      Berhati nurani.
2.      Berperasaan.
3.      Hidup hatinya.

Wahai ikhwah, seorang mukmin adalah seorang yang lemah lembut dan ramah di manapun ia berada. Ke manakah curahan hati orang-orang yang beriman ini diarahkan?

Allah swt telah menjadikan sasaran dari curahan hati ini untuk :

a.       Pertama kali adalah menuju Zat-Nya.
b.      Kemudian kepada RasulNya.
c.       Lalu kepada kebaikan.
d.      Kemudian kepada orang-orang yang beriman.

Inilah tempat-tempat yang perlu dijadikan sasaran curahan hari seorang mukmin.

Kita mesti sentiasa mengusahakan agar :

1.      Tegaknya cinta kepada Allah.
2.      Semaraknya cinta kepada Rasul.
3.      Tumbuhnya kebaikan.
4.      Bertambahnya kawan, saudara dan orang dicintai kerana Allah.

Aku kembali ingin menegaskan bahwa kajian kita tentang kitab Allah swt dimaksudkan agar:

a.       Hati seorang mukmin berorientasi kepadanya.
b.      Berlaku hubungan yang sejati antara satu hati dengan hati yang lain.
c.       Bertaut hati orang-orang yang beriman.

Wahai ikhwah, ketika hati berhasil mengetahui rahsia-rahsia kitab Allah yang sebelumnya tidak pernah disingkapnya dan berhasil mencapai ilmu yang bermanfaat, yang jauh dari sikap berlebihan orang-orang sufi atau perdebatan para ahli debat, maka ketika itu wahai ikhwah, Allah swt mengurniakan kepada kamu :

1.      Kefahaman yang paling mendalam.
2.      Tasawwuf yang paling bersih.
3.      Tauhid yang paling luhur dan tinggi.

Tujuan pertemuan kita ini bukanlah untuk menyerap ilmu semata-mata, tetapi juga untuk mengikatkan hati kita kepada kitab Allah.

Yakinlah bahwa Nabi kita saw mendidik generasi yang sempurna ini bukan dengan banyaknya ilmu dan pengetahuan, tetapi dengan membersihkan hati dan jiwa mereka, sehingga mereka menjalin hubungan dengan ‘Al-Mala’ul A’la’ dan Allah memberikan hikmah kepada mereka.

“Dan barangsiapa dikurniakan hikmah, maka sungguh ia telah diberi banyak kebaikan.” (QS Al Baqarah : 269)

Ikhwah sekalian, Nabi saw tidak mempunyai kurikulum selain Al-Qur’an, tidak mempunyai institusi pendidikan selain masjid. Murid-murid baginda adalah Abu Bakar, Umar, Othman, Ali dan para sahabat baginda yang lain, yang setara dengan mereka.

Apakah kita pernah melihat institusi pendidikan lain yang lebih bersih dan lebih baik daripada institusi baginda ini yang :

a.       Di dalamnya para pelajar duduk di hamparan batu kerikil.
b.      Universiti mereka beratapkan pelepah kurma di mana hujan yang turun boleh membasahi tubuh mereka.
c.       Kurikulum mereka adalah Al –Qur’an.
d.      Mereka sentiasa menunggu-nunggu datangnya wahyu dari langit.

Dari institusi pendidikan ini, telah lulus guru-guru yang paling sempurna yang pernah dikenali oleh dunia dalam segala bidang keutamaan kemanusiaan. Penggembelingan usaha dan pendidikan ini hanya dilaksanakan berdasarkan kitab Allah swt yang tidak dapat disentuh oleh kebatilan, samada dari hadapan ataupun belakang.

Ikhwah sekalian, alangkah perlunya kita kepada sebuah :

1.      Universiti seumpama universiti baginda ini.
2.      Mimbar sebagaimana mimbar Rasulullah saw yang di dalamnya rahmat turun, ayat-ayat dibacakan serta cahaya ‘Rabbul Alamin’ dipancarkan.

Dari situlah dilahirkan para guru, bahkan mahaguru.

Betapa perlunya kita menjalin hubungan yang sungguh-sungguh dan terus menerus dengan Al-Qur’anul Karim dan betapa perlunya pula kita memahami metod yang difahami oleh para sahabat Rasulullah saw ini.

Begitulah yang dapat kita baca dalam rakaman Imam Hasan Al Banna dalam salah satu pertemuannya.

Di sana kita dapat menangkap semangat bahwa pertemuan-pertemuan tarbawi yang kita kelolakan ataupun yang kita lakukan seharusnya jauh dari sekadar bersifat formal. Bagaimana jiwa yang bercahaya dan kehangatannya mampu melimpah ruah atau dapat dibentuk dalam suasana formal yang beku?

Akhirnya, marilah sama-sama kita renungi hakikat dari ‘Tarbiyah Islamiyah’ yang sedang kita jalani ini dan fahami hakikat dari setiap wasilah yang ada serta berusaha untuk sentiasa menghidupkan makna-makna tarbawi, samada yang kita kelolakan ataupun yang kita terlibat sebagai peserta di dalamnya.

Maka, hendaklah kita faham sebelum beramal, kemudian beramallah dengan ikhlas danjihad yang sempurna. Di mana jihad hanya akan dapat ditegakkan dengan pengorbanandan tajarrud keyakinan kita yang murni. Namun, hanya dengan keteguhanlah kita dapat melalui jalan yang panjang dan berliku ini. Tsiqah dan taatlah kita kepada pemimpin kita, insyaAllah, Allah akan memberikan jalan dan semoga Allah sentiasa mengumpulkan kita dalam ikatan terindah di alam semesta, iaitu ukhuwah islamiyah.

Ya Allah, kurniakanlah makna-makna tarbawi dalam setiap amal yang kami laksanakan sehingga semuanya itu dapat diikat dan dihubungkan dengan Engkau semata-mata sehingga kami dapat memisahkan semua amal-amal kami dari kehendak duniawi serta menumpukan sepenuh hati hanya kepadaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pelita Minyak Tanah

Salam, Dulu, zaman 1960'an, keluargaku menggunakan lampu minyak tanah di rumah...minyak tanah=minyak gaih, istilah oghang Utagha. Belum ada bekalan elektrik lagi masa tu. Tiba waktu Maghrib, aku atau kakakku atau abangku akan mula menyalakan lampu ni. Mula2 ambil 4-5 biji lampu yang disimpan di bawah 'lemari '(almari) barang2, cabut kepalanya & tuangkan minyak tanah dgn menggunakan corong plastik. Lampu ni ada yang tiada tiang dan ada yang ada tiang (tinggi >< gelen="~30liter?"> Selepas tu, pastikan sumbunya (dibuat drp tali guni) cukup panjang. Jika tidak cukup panjang utk menyala hingga ke pagi, maka kami kena menukarkan sumbu tersebut terlebih dahulu sebelum kami menyalakan lampu2 ini. Lampu2 inilah kami guna utk memasak, basuh pinggan mangkuk, solat, baca Al-Qur'an, buat kerja rumah, buat kuih muih (masa tu emakku buat cucur jual di kedai2 kopi), malah pergi ke luar rumah dsb, semuanya guna lampu ini. Dengan lampu inilah juga aku belajar, meng

Tafsir Surah Al-Fatihah, ayat 1-3 (Syeikh Abul A'la Al-Maududi)

1.  بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ (Bismillaahir-Rahmaanir-Rahiim) (1:1) In the name of Allah, the Merciful, the Compassionate  *1 *1)  One of the many practices taught by Islam is that its followers should begin their activities in the name of God. This principle, if consciously and earnestly followed, will necessarily yield three beneficial results. First, one will be able to restrain oneself from many misdeed, since the habit of pronouncing the name of God is bound to make one wonder when about to commit some offence how such an act can be reconciled with the saying of God's holy name. Second, if a man pronounces the name of God before starting good and legitimate tasks, this act will ensue that both his starting point and his mental orientation are sound. Third - and this is the most important benefit - when a man begins something by pronouncing God's name, he will enjoy God's support and succour; God will bless his efforts and protect him from the machin

Aku dan Silat Seni Gayung

Salam semua, Aku mula ceburi alam persilatan mulai 1hb Mei 1975 (hari Buruh...aku masih ingat lagi tarikh nih),ketika aku di Tingkatan 3 di SMSPP. Majlis mandi tapak di Surau Asrama Putera, oleh Cikgu Ahmad Ismail (Mad Putih@Mat Jepun...itu gelarannya di kalangan pesilat Gayung. Mat Hitam- Allahyarham Cikgu Ahmad Lazim. Mat Jepun sebab dia bersama Cikgu/Dato' Abd Majid Mat Isa ke negara Jepun buat demo keris di sana,tahun 70an...org2 Jepun semua kagun dgn silat kita.) Kini, Cikgu Mat Putih ni masih mengajar Silat Gayung Warisan di Ipoh,Perak. Saya berjumpa beliau kali akhir di Kpg Air Kuning,Taiping ketika menziarahi kematian Allahyarhamah Cikgu Siti Kalsum. Ketika di sekolah tu, antara tonggak2 utama gurulatih kami ialah Cikgu Taher Saad (Pak Cu Taher), Cikgu Abd. Rahim (adik Cikgu Mad Putih), Cikgu Said, Cikgu Mansor, Allahyrham Cikgu Ishak (Alma, abang Cikgu Yaakub- Ketua Gurulatih Tertinggi PSSGM P. Pinang), Cikgu Saad (Ad Misai) dan beberapa gurulatih lain. Dato' Abd. Maj